Cinta itu adalah suatu perasaan yang dikurniakan oleh ALLAH kepada setiap insan. Cinta mendorong manusia untuk terus hidup dan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Islam tidak pernah menghalang sesuatu yang merupakan fitrah. Tetapi Islam memberikan garis panduan agar kehidupan mereka terpelihara daripada kerosakan dan menjamin keamanan mereka.
Cinta yang didorong oleh rasa takut kepada ALLAH akan membawa kebaikan dan kebahagian kepada manusia. Sebaliknya cinta yang berlandaskan nafsu tidak akan kekal. Malah akan menyebabkan manusia rasa gundah gulana dan kecewa.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman: Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka." – Riwayat al-Bukhari.
Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak. Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu al-Mughirah bin Syu'bah. Beliau memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Rujuk al-Tirmizi: 1087. Diklasifikasikan sebagai hasan oleh al-Nasai).
Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah." – Riwayat Ibn Majah dan diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Busoiri dan al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah: 624.
Al-Sindi r.h berkata: "Hadis itu boleh merujuk kepada dua orang atau lebih. Maksudnya, jika timbul perasaan cinta antara dua manusia yang berlainan jenis, cinta itu tidak akan bertambah atau bertahan lama tanpa ikatan perkahwinan. Jika terjadi perkahwinan atas dasar cinta itu, ia akan bertambah kuat dari hari ke hari. " (Rujuk: Nota kaki Sunan Ibn Majah).
No comments:
Post a Comment